>

Friday, August 11, 2017

7 Amalan Ibu Mengandung Menurut Islam

Saat-saat awal kehamilan, perubahan hormon pada si ibu membawa pelbagai peasaan yang datang. Bagi ibu yang hamil buat pertama kali, untuk membiasakan diri dengan perubahan yang sedikit demi sedikit kadang kala menguji kesabaran si ibu.

Banyak perubahan yang berlaku dari segi fizikal dan emosi serta turun naiknya hormon dalam tubuh sepanjang kehamilan. Jika tidak ditangani, ia boleh terbawa-bawa hingga selepas kelahiran, di mana ia membabitkan masalah mental yang serius seperti meroyan.

1. Sentiasa Bersyukur Walaupun Diuji
Pertama sekali, banyakkan bersyukur kepada Allah kerana telah diberi nikmat zuriat. Kita sedia maklum bahawa setiap kehamilan diuji pelbagai perkara dan ia tidak semestinya sama dengan wanita lain. Loya, sakit badan, letih, susah tidur malam, dan macam-macam lagi.

Walaupun mengalami kesukaran ingatkan diri bahawa Allah tidak pernah membebankan hambaNya dengan sesuatu yang tidak dapat dihadapi oleh mereka. Malah, setiapnya adalah hikmah dan ada kebaikannya yang tidak kita ketahui. Jadi, bersabarlah dan ucapkan syukur kerana tentunya Allah mempunyai perancangan yang terbaik buat kita!

2. Banyakkan Membaca Al-Quran
Menjelang trimester kedua kehamilan, bayi dalam kandungan sudahpun memiliki kebolehan untuk mendengar. Menurut sebuah hadis juga, dalam lingkungan ini,ruh telahpun ditiupkan ke dalam kandungan anda.

Oleh itu, pakar juga menyarankan ibu bapa untuk selalu bercakap dengan bayi. Selain bercakap, waktu kehamilan ini juga amat sesuai untuk kita memperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran kepada bayi. Malah, ini juga salah satu hadiah istimewa yang dapat kita berikan kepada bayi.

Selain membaca, fahamkan juga ayat-ayatnya supaya ia dapat memberi kekuatan dan motivasi kepada kita melalui pengajaran yang terkandung di dalamnya.

3. Sentiasa Berzikir dan Berdoa Untuk Bayi Dalam Kandungan
Di samping membaca Al-Quran, digalakkan juga melazimi zikir dan doa. Jangan risau, kita boleh mengamalkan yang pendek-pendek dan mudah diingat saja. Antaranya zikir yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah kepada Fatimah RA yang mengadukan kepenatan dalam melakukan kerja harian.

Rasulullah SAW bersabda: “Takutlah akan Allah, hai Fatimah. Bertaqwalah dan teruslah melakukan tugasmu terhadap Allah dan kerja-kerja rumahtanggamu. Sewaktu hendak tidur, ucapkanlah

Suhanallah 33x
Alhamdulillah 33x
Allahu Akbar 33x

Dengan ini akan engkau dapati lebih berguna dari seorang pembantu.”

4. Berusaha Mencari Ilmu
Seorang anak bukan saja penyeri dalam rumah tangga, tetapi ia adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa.

Peranan ilmu amat penting supaya ibu bapa dapat menjadi contoh kepada anak-anak. Dengan itu, cedoklah ilmu sebanyak mungkin melalui majlis-majlis ilmu, pembacaan buku, majalah, internet, dan sumber-sumber yang sahih.

5. Solat Sebagai Meditasi
Dalam tempoh kehamilan, kita seringkali disarankan oleh doktor supaya rajin bersenam dan kekal aktif. Bagi yang cenderung stres dengan kerja, meditasi atau senaman pernafasan turut dianjurkan. Sebenarnya, solat adalah gabungan kedua-dua senaman dan juga meditasi. Ia adalah cara terbaik untuk kita melakukan pergerakan di samping meluahkan seribu rasa keresahan kepada Yang Maha Agung.

Dalam sesi senaman lantai yang dipopularkan oleh orang Barat sekalipun, posisi sujud sering digunapakai kerana dipercayai dapat membantu ibu-ibu agar mudah bersalin.

6. Pilih Makanan Yang Berkualiti
Islam adalah agama yang menyeluruh. Selain ibadah-ibadah khusus, kita turut diajarkan cara hidup yang seimbang. Antaranya adalah melalui cara pemakanan yang sederhana dan tidak berlebih-lebihan.

Buah-buahan seperti susu, madu, delima, buah tin, dan kurma pernah disebutkan dalam Al-Quran dan hadis. Ternyata, semua makanan ini tergolong dalam superfood yang tinggi khasiatnya.

7. Tidak Terlalu Menghebahkan Ke Media Sosial
Elakkan memuatnaik gambar ultrasound bayi, memperlihatkan baby bump, dan menulis status-status yang bertujuan menghebahkan kehamilan anda dengan keterlaluan.

Tak salah untuk kita mengumumkan kehamilan dan berkongsi kegembiraan dengan orang lain, tetapi pastikan kita tidak melakukannya secara berlebihan. Maksud janin yang berasal daripada perkataan Bahasa Arab itu sendiri membawa maksud ‘perkara yang tersembunyi.’ Maka, wajarlah kita menyembunyikannya kerana dikhuatiri boleh mengundang fitnah atau penyakit ‘ain.

Semoga amalan ibu mengandung ini menjadi titik tolak kepada kita agar terus istiqamah dan diteruskan lagi walaupun setelah kelahiran bayi nanti.

sumber: zuriat.my
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
Salam Sayang,
Farihah / Kak Eha
http://wasap.my/+60192282147

Like Page kami untuk Info kesihatan & Business
We L.O.V.E Breastfeeding
Surijunior

No comments: