>

Thursday, July 6, 2017

Panduan Untuk Menjaga Kesihatan Gigi Anak-Anak Sebelum Terlambat

Gigi yang sihat adalah aset yang sangat penting untuk anak bercakap dan makan dengan sempurna. Semestinya tanggungjawab menjaga kesihatan gigi anak-anak terletak dibahu ibu bapa. Hakikatnya elemen yang terpenting bagi penjagaan gigi dan gusi ialah kebersihan mulut yang baik supaya dapat melindungi anak anda daripada kerosakan dan pereputan gigi susu.  

Anak akan mulai tumbuh gigi susu yang pertama iaitu gigi kacip pada usia lebih kurang enam bulan ke atas. Apabila gigi sudah tumbuh, ibu bapa perlu membantu anak membersihkan giginya dengan menggunakan berus gigi silikon yang lembut. Seterusnya apabila set gigi susu sebanyak 20 batang sudah tumbuh pada usia dua setengah tahun ke atas, ibu bapa perlu mula tunjuk ajar anak mereka bagaimana cara yang betul untuk menggosok gigi anak mereka.
Namun masalah kerosakan gigi mulai berlaku apabila kebersihan gigi diabaikan. Ia termasuk juga perihal anak yang suka menghisap botol susu sambil tidur. Ia amalan yang sangat tidak digalakkan. Kandungan kanji atau karbohidrat dalam susu akan membentuk lapisan melekit (plak) pada permukaan gigi anak anda. Seterusnya susu yang melekat pada gigi akan menyebabkan gigi mudah mereput. Sebaiknya selepas setiap kali selesai anak anda menghisap susu, bilas mulut dengan memberi sedikit air kosong atau lapkan gigi anak anda menggunakan kain yang bersih.

Amalkan panduan ini  untuk mengelak kerosakan gigi anak anda.

1. Sayuran dan buah-buahan berserat
Pemakanan yang baik untuk diamalkan supaya anak akan mendapatkan gusi yang sihat adalah dengan menggalakkan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan berserat. Elakkan snek bergula yang tiada nutrisi. Amalkan tabiat yang sihat dan betul perlu di titik beratkan sejak kecil lagi.
2. Elakkan Makanan Bergula Dan Berkanji
Pemakanan yang berkandungan gula dan berkanji sangat tidak digalakkan kerana gula adalah musuh utama gigi, selain boleh menyebabkan obesiti. Jika tidak menjaga kebersihan mulut dengan cara menggosok gigi, kandungan gula ini akan melekat pada permukaan gigi sekali gus mereputkan gigi jika dibiarkan berterusan dalam keadaan begini.

3. Elakkan menidurkan anak dengan botol berisi susu.
Pastikan anak menghabiskan susu dengan segera dan setelah anak tidur gantikan dengan botol berisi air kosong biasa. Dengan cara ini, gigi anak tidak akan rosak dengan mudah. Galakkan anak meminum air kosong sejak kecil. Peranan dan kefahaman ibu bapa di sini adalah penting.

4. Kesihatan Gusi
Gusi anak perlu dijaga dengan membersihkan gusi walaupun sebelum gigi susu tumbuh. Susu mengandungi karbohidrat yang berkanji dan ada yang bergula. Sekiranya sisa susuan tidak dibersihkan dengan betul pada rongga mulut dan batas gusi anak, ia akan menyebabkan mulut anak akan berbau masam dan gusi boleh menjadi keputih-putihan dan tidak sihat. Keadaan gusi sebegini akan menyebabkan anak berasa tidak selesa jika dibiarkan berterusan.
5. Mengosok Dengan Cara Yang Betul
Ibu bapa perlu tahu bagaimana cara membersihkan gigi anak. Ia termasuk cara menggosok gigi dari atas ke bawah dan sebagainya. Juga pemilihan berus gigi dan ubat gigi mengikut umur perlu betul supaya kebersihan mulut dilakukan dengan sempurna. Sentiasa ingatkan anak untuk menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan anggaran selama dua minit. Ibu bapa boleh menjadi contoh yang baik bagi anak.

6. Pemeriksaan Berkala Setiap 6 Bulan
Dinasihatkan anak berusia setahun dibawa berjumpa doktor pergigian supaya dapat diberi tunjuk ajar cara membersihkan gigi anak. Ia untuk memastikan tiada gigi yang berlubang dan gusi pula sihat. Sekiranya berlaku masalah pergigian, rawatan akan diberi pada bahagian yang bermasalah itu.

sumber: majalahpama
-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Salam Sayang,
Farihah / Kak Eha
http://wasap.my/+60192282147

Like Page kami untuk Info kesihatan & Business
We L.O.V.E Breastfeeding
Surijunior

No comments: