>

Tuesday, July 18, 2017

Bagaimana Mengenal Pasti Anak Anda Menghidapi Asma Pada Peringkat Awal.

Penyakit ini memberi kesan kepada paru-paru kanak-kanak dan pernafasan mereka . Kadang-kadang, kanak-kanak yang menghidap asma juga mungkin mempunyai alahan, contohnya alahan pada sesetengah makanan, debunga, dan hama atau bulu haiwan. Mereka juga mungkin menghidap ekzema (sejenis masalah kulit).
Asma menyebabkan anak-anak batuk dan selalunya batuk ini akan lebih teruk pada waktu malam dan semasa awal pagi. Mereka juga mungkin mengeluarkan bunyi wheezing yang  ketara, mengalami sesak dada dan kesukaran bernafas . Kesukaran bernafas ini boleh menyebabkan mereka menjadi mudah letih atau mempunyai masalah melakukan aktiviti seharian.
Antara perkara penting yang perlu ibu bapa tahu:
1.    Apakah tanda-tanda asma - supaya anda tahu dalam situasi yang bagaimana anda perlumemberikan ubat dan bila anda perlu membawa anak berjumpa doktor.
Sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami batuk yang berterusan yang tidak boleh diubati dengan ubat batuk biasa. Selalunya ibu bapa mungkin tidak sedar bahawa anak-anak mereka menunjukkan tanda-tanda asma dan akan terkejut apabila mengetahui bahawa batuk yang dialami anak mereka adalah lebih daripada sekadar 'batuk biasa' .
Sesetengah kanak-kanak mengalami  batuk yang berkaitan dengan kesesakan dada. Sesetengah kanak-kanak pula mungkin mengalami kesukaran bernafas atau mendapat sesak nafas walau pun hanya ketika menjalani aktiviti-aktiviti yang mudah dan tidak memenatkan. Mereka juga tidak dapat menghabiskan ayat dengan kerana sering tercungap-cungap apabila bercakap. Kanak-kanak asma juga sering kelihatan lesu dan kurang selera makan.
2.    Apakah faktor pencetus (trigger factor) asma anak anda - supaya anda tahu bagaimana untuk mengelakkan faktor pencetus ini. Contohnya seperti permaidani di rumah, terutamanya di dalam bilik tidur; harus dielakkan kerana ianya merupakan perangkap habuk. Gunakan vacuum cleaner  atau gunakan mop basah apabila membersihkan lantai untuk memerangkap habuk.
Jika anak anda mempunyai sebarang alahan makanan, elakkan daripada memberikan anak anda makanan tersebut . Sesetengah alahan makanan akan dialami sepanjang hayat, seperti alergi kacang. Walau bagaimanapun sesetengah kanak-kanak tidak lagi mengalami sesetengah alahan seperti alahan protein susu lembu; apabila mereka semakin membesar dan meningkat dewasa. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengulangi mana-mana ujian alahan selepas 6-12 bulan dan memastikan anak anda menjalani pemeriksaan secara berkala .
3.    Apakah ubat-ubatan anak anda dan bagaimana untuk menggunakan ubat tersebut.
Jika anak anda disarankan menggunakan nhaler oleh doktor , ibu bapa perlu tahu teknik penggunaan inhaler yang betul dan kekerapan penggunaan (berapa kali sehari dan berapa hari perlu digunakan). Ibu bapa boleh mendapatkan panduan daripada doktor / jururawat, selain mendapatkan maklumat tambahan melalui pembacaan risalah berkenaan teknik penggunaan inhaler dari klinik / hospital dan mendapatkan panduan bertulis mengenai ubat-ubatan yang berbeza.
4.    Apa yang perlu dilakukan dalam keadaan kecemasan. Jika anak anda diserang asma, apa yang perlu dilakukan dengan segera di rumah dan bilakah anda perlu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Jika anak anda mula bernafas dengan bunyi wheezing , doktor biasanya akan menasihati anda untuk menggunakan inhaler atau meningkatkan kekerapan penggunaan. Doktor juga boleh membekalkan anda beberapa jenis ubat untuk disimpan di rumah yang boleh  anda gunakan apabila serangan asma bermula.
Sesetengah keluarga mungkin mempunyai mesin nebuliser di rumah sama seperti  yang digunakan di hospital. Walau bagaimanapun mesin di hospital menggunakan campuran oksigen dengan ubat, oleh itu mesin nebuliser di hospital adalah lebih berkesan. Walau bagaimanapun elakkan penggantungan kepada penggunaan nebuliserdi rumah. Jika anak anda masih belum pulih setelah menggunakan mesin nebulizer, segeralah bawa anak anda  ke hospital atau klinik.
Kesimpulannya, bilangan kanak-kanak menghidap asma semakin meningkat dan asma dalam kalangan kanak-kanak bukan lagi perkara yang luar biasa. Jika anda mengesyaki bahawa anak anda mempunyai asma, segeralah bawa anak anda berjumpa doktor pakar untuk pemeriksaan lanjut.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------


Salam Sayang,
Farihah / Kak Eha
http://wasap.my/+60192282147

Like Page kami untuk Info kesihatan & Business
We L.O.V.E Breastfeeding
Surijunior

No comments: