>

Friday, May 26, 2017

Panduan Bagaimana Mengatasi Bayi Tidur Ketika Menyusu.

Ramai juga ibu yang mengalami masalah sebegini selepas kelahiran bayi. Tahukah ibu sekalian, Secara purata, bayi berumur dua hingga tiga minggu akan tidur 16 hingga 18 jam sehari dan jumlah waktu tidur ini berkurangan mengikut perkembangan umurnya. Ketika menginjak usia dua bulan, dia hanya tidur sembilan hingga 10 jam sehari.

Secara fitrah, manusia memerlukan ritma tidur-jaga yang sekata (circadian rhythm) iaitu tidur di waktu malam dan berjaga di waktu siang untuk kekal sihat. Walau bagaimanapun, bayi baharu lahir tidak mempunyai ritma yang sekata kerana kelenjar di otak belum cukup matang untuk menghasilkan hormon yang membuatkan rasa mengantuk (melatonin) dan hormon yang membuatkan rasa sedar atau berjaga (cortisol).
Justeru, ramai bayi yang masih belum kenyang tetapi tertidur semasa menyusu. Bayi yang didakap erat semasa menyusu membuatkannya lebih tenang dan lebih mudah tertidur.
Namun, anda perlu mengetahui tentang dua fasa tidur bayi iaitu active sleep mengambil tempoh yang lebih lama daripada quiet sleep. Maka, semasa menyusu bayi akan mula tidur dalam fasa active sleep di mana dia mudah terjaga jika sentiasa dirangsang. Jika bayi dibiarkan terus tertidur, dia akan masuk fasa quiet sleep, seterusnya berhenti menyusu.
1. Kejutkan Bayi
Pastikan anda mengejutkan bayi daripada tidur setiap dua jam jika bayi selalu tidur melebihi dua jam. Ini bagi memastikan bayi mendapat nutrisi susu ibu yang secukupnya.
Secara tidak langsung, dapat mengelakkan bengkak payudara atau saluran kelenjar tersumbat terutamanya di minggu pertama kelahiran.
2. Urut Lembut
Jika bayi amat sukar dikejutkan, lakukan urutan lembut dan senaman otot tangan dan kaki. Anda juga boleh bercakap dengan bayi dalam nada yang boleh mengejutkannya (bukan bertempik).
Gunakan kreativiti lain seperti menyanyi riang atau berselawat apabila melakukan urutan dan senaman. Setelah bayi betul-betul terjaga, usap tepi mulut bayi dengan jari untuk merangsangnya supaya mencari puting (rooting reflex). Mulakan penyusuan secepat mungkin sebelum bayi merajuk.
3. Ibu Perlu Kreatif
Semasa bayi menyusu, jangan beri peluang kepadanya untuk masuk fasa tidur active sleep. Gunakan pelbagai kreativiti seperti merangsang dia dengan kerap supaya sentiasa menyusu dengan aktif.
Contohnya mengurut atau menggerakkan tangan dan tapak kakinya, bercakap-cakap tentang kasih sayang kepadanya dan menggeletek lembut belakang atau tapak kakinya.
4. Rangsang Bayi
Sesekali, anda boleh menekan payudara antara ibu jari dan beberapa jari lain seperti memerah apabila bayi berhenti menghisap. Teknik ini akan mengalirkan susu keluar ke dalam mulut bayi dan boleh merangsangnya untuk terus menghisap.
5. Panjangkan Tempoh Penyusuan
Pastikan penyusuan bayi yang kerap tertidur ini lebih lama daripada bayi yang aktif menghisap. Apabila bayi kerap tertidur membuatkan susu yang diambil tidak cukup.
Jika bayi tidak kenyang, ini bukan kerana ibu tidak cukup susu. Jumlah susu yang bayi terima amat bergantung kepada keaktifan bayi menghisap. Jika kurang aktif menyusu, panjangkan tempoh penyusuannya.
Tiada jangka masa yang tertentu tetapi pastikan bayi menghisap sehingga dia melepaskan puting dengan sendirinya. Jika anda tidak pasti sama ada bayi berhenti menyusu kerana sudah kenyang atau terlelap, cuba tarik keluar puting perlahan-lahan.
Sekiranya mulut bayi masih membuat gerakan menghisap, teruskan penyusuan. Jika sebaliknya, anda boleh menghentikan penyusuan. Pemberian susu formula bukan penyelesaiannya.
6. Posisi Baring
Menyusu bayi dalam posisi berbaring boleh membantu mengurangkan keletihan akibat penyusuan yang lama. Anda boleh berehat sambil menyusukan bayi.
Terdapat punca lain yang menyebabkan bayi sering tertidur dan tidak aktif seperti pramatang, kurang gula dalam darah, sindrom Down dan hypothyroidism. Bayi ini biasanya tidak aktif walaupun dalam keadaan jaga dan biasanya mempunyai simptom lain. Anda perlu membawa bayi berjumpa pakar untuk kepastian.
Yang penting ibu jangan mudah berputus asa untuk berusaha menggalakkan bayi menghisap susu ibu.

sumber: majalah pa&ma
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Salam Sayang,
Farihah / Kak Eha 
http://wasap.my/+60192282147

Like Page kami untuk Info kesihatan & Business
We L.O.V.E Breastfeeding
Surijunior

No comments: