>

Monday, August 11, 2014

Mengajar Anak Solat

Perkara pertama yang akan dihisab pada hari kiamat adalah solat. Kalau solat baik, maka baiklah segala amalnya. Jika rosak, maka rosaklah seluruh amalnya. Jadi, solat adalah amalan yang sangat istimewa yang perlu dilakukan oleh manusia yang mukallaf. Namun bagi anak-anak, ada kelonggaran dan disiplin untuk melatik mereka mendirikan amalan ini.



Sabda Rasulullah bermaksud:

“Suruhlah anak kamu solat ketika mereka berusia 7 tahun dan pukullah mereka (jika lalai menunaikan) pada usia 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur mereka. (HR Abu Daud).

Walaupun hadis ini menyebut dalam usia 7 tahun, kita digalakkan untuk menekankan kepentingan solat dalam jiwa anak-anak bermula dari bayi lagi. Bagi anak berumur kurang dari 6 tahun, daya fokus mereka lebih tertumpu melalui pemerhatian. Jadi, ibu bapa perlu tunjukkan kepada mereka bahawa solat tidak dapat dipisahkan dari kehidupan muslim. Caranya adalah dengan menunjukkan aktiviti ibadah ini dihadapan anak-anak seperti solat bersama keluarga.



Selain itu, selalulah perdengarkan azan kepada anak anda samaada dari televisyen , radio atau masjid dan surau. Tunjukkan kepada mereka anda akan beherti melakukan pekerjaan dan bergegas mengambil wudhuk untuk mengerjakan solat. Ini akan member signal kepada anak bahawa solat merupakan ibadah yang sangat penting yang perlu dilakukan. Ia juga akan memberikan pendedahan kepada anak bagaimana menghormati seruan azan yang berkumandang.

Anda juga perlu mengajar anak berwudhuk dengan cara paling sempurna. Seeloknya setiap kali selepas memandikan anak, galakkan mereka mengambil wudhuk. Tunjuk pada mereka anggota yang perlu dibasuh dan disapu. Cerita kelebihan menjaga wudhuk dan kebaikannya. Ini boleh diamalkan walaupun anak anda masih bayi. Apa yang penting, cakaplah dengan mereka.



Solatlah bersama anak, walau anak masih kecil. Letak mereka ditepi dan biarkan mereka memerhatikan anda. Ajar juga anak mengenai gerakan dalam solat seperti memberitahu “Abang tengah sujud tu” dan sebagainya.

Hadiah juga mampu menjadi peransang pada anak untuk mencintai solat. Berikan mereka hadiah sejadah kecil atau kopiah dan telekung kanak-kanak untuk menggalakkan mereka melakukan Ibadan penting ini. Jika permulaannya mereka hanya main-main dalam solat, biarkanlah dahulu. Teruslah memberitahu bagaimana solat sempurna dan perlunya menghormati solat.



Akhirnya, untuk makan buah pisang yang baik, proses menanam perlukan kesabaran menyiram, membaja dan menghalang dari perosak. Maka, dalam  mendidik anak untuk menjadi baik, tentu prosesnya juga perlukan kesabaran dan ketekunan..

Semoga kita mampu melahirkan keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga.

Thanks for reading!



No comments: