>

Saturday, January 18, 2014

Jaundis : Bahaya atau Biasa?


Jaundis atau kuning adalah penyakit yang biasa dialami oleh bayi yang baru lahir. Dikatakan 6 daripada 10 orang bayi akan menghidap kuning setelah 3 hari kelahiran.

Sel darah merah mempunyai jangka hayat tertentu. Setelah beberapa ketika, ia akan mati dan perlu diuraikan. Proses penguraian ini menghasilkan partikel yang dipanggil bilirubin. Bilirubin ini tidak larut air dan akan dihantar ke hati untuk diubah kepada larut air. Selepas itu, bilirubin akan dikeluarkan melalui air kencing dan najis. Sebab itu warna keduanya kuning.


Jaundis terjadi apabila terlalu banyak sel darah merah yang rosak / pecah dan diuraikan secara serentak dalam satu masa. Ini menyebabkan tahap bilirubin dalam darah meningkat sehingga dapat dikesan melalui warna kekuningan pada badan bayi.

Bahaya atau tidak?

Menurut Dr Zubaidi Ahmad, kekuningan perlu dirisaukan sekiranya berlaku dalam masa 24 jam selepas kelahiran atau mungkin semenjak lahir. Ini menandakan organ hati bayi mempunyai masalah  samaada jangkitan kuman atau kecacatan sejak lahir.


Sekiranya tidak dirawat dengan cepat, Kernicterus akan berlaku. Kernicterus adalah keadaan dimana serum bilirubin berlebihan dan menembusi lapisan otak bayi. Sekiranya tidak dirawat, ia akan menyebabkan kerosakan otak dan sawan. Selain itu gangguan pendengaran juga akan berlaku.

Haruskah saya bimbang jika anak saya jaundis?

Bayi anda mungkin sihat jika :
  •       Bayi anda cukup bulan dan tidak berisiko untuk terjadi jaundis yang teruk.
  •       Jaundis terjadi selepas 48 jam selepas lahir dan tiada peningkatan jaundis yang teruk.
  •       Bayi anda sihat dan aktif.
Walau bagaimanapun, sila dapatkan pemeriksaan doktor untuk penilaian lanjut.



Apakah tanda-tanda bahaya yang patut saya perhatikan?

Anda harus dapatkan pemeriksaan doktor segera sekiranya :
  •        Jaundis terjadi dalam masa 24 jam selepas dilahirkan.
  •        Peningkatan kekuningan yang cepat.
  •        Bayi anda mengalami defisiensi G6PD.
  •       Anak anda terdahulu pernah mengalami jaundis teruk.
  •        Bayi anda kelihatan tidak aktif dan tidak mahu menyusu.
  •       Najis bayi anda kelihatan pucat atau air kencingnya menjadi pekat.

Rawatan terbaik bagi jaundice adalah dengan kerapkan bayi anda menyusu. Dalam susu ibu telah terhasil formula terbaik untuk anak melawan semua jenis penyakit temasuk jaundis. Ibu seharusnya mengelakkan pengambilan jamu dan makan makanan seimbang.

Rujukan:
1.       Kementerian Kesihatan Malaysia
2.       Dr Zubaidi Ahmad
3.       Grup Nutrisi Remedi Alami Malaysia (GNRAM)


Thanks for reading!